PETALING JAYA- Hasrat seorang bakal pengantin merakamkan gambar ‘pre-wedding’ bersama bakal suaminya tidak kesampaian apabila lelaki itu didakwa melarikan diri bersama bekas kekasihnya.
Lebih menyedihkan, bakal pengantin itu yang dikenali sebagai Jannah tetap meneruskan sesi fotografi berkenaan secara bersendirian walaupun majlis perkahwinan bakal diadakan dalam masa terdekat.
Kisah itu yang tular di laman media sosial dikongsi oleh seorang jurugambar dikenali sebagai Bro Sayap atau Faris di laman sosial Facebook miliknya semalam.
Menerusi perkongsian itu, Faris menceritakan dugaan bakal pengantin wanita itu apabila kehadiran kekasih lama tunangnya di saat mereka bakal mendirikan rumah tangga.
“Kita hanya mampu merancang, tetapi Tuhan yang menentukan, soal jodoh itu rahsia. Semoga anda kuat menempuh dugaan.
“Nak dijadikan pengajaran buat semua, tolong hargai pasangan anda. Dah dekat majlisnya, namun ditinggalkan kerana kehadiran kekasih lama,” tulisnya.
Sementara itu, rata-rata netizen mengecam tindakan lelaki berkenaan yang lari bersama bekas kekasihnya selain bersimpati dengan nasib gadis berkenaan. -K! ONLINE