ALOR GAJAH – Seorang pemuda melecur pada bahagian leher, belakang badan dan tangan selepas dibakar rakannya yang menuduh mangsa mencuri telefon bimbit milik teman wanita suspek, di sebuah rumah di Taman Lendu Bakti, di sini semalam.
Akibat kejadian itu, mangsa yang berusia 23 tahun kini menerima rawatan lanjut di Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, sebelum kejadian, mangsa telah dipanggil ke rumah berkenaan oleh seorang lagi rakan dikenali sebagai ‘Aki’ bagi menjelaskan hutang.
Katanya, mangsa bersama-sama Aki dan suspek kemudiannya melepak bersama dan mengaku mereka berborak sambil menghisap dadah jenis Syabu.
“Ketika berbual, telah timbul perselisihan faham antara mangsa dengan suspek yang berusia 29 tahun yang menuduhnya mencuri telefon bimbit milik kekasihnya.
“Suspek tiba-tiba bertindak mengambil minyak petrol dari tangki mesin gergaji rantai di rumah tersebut dan mencurahkan ke arah mangsa sebelum menyalakan pemetik api lalu membaling ke badan rakannya itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Selepas kejadian itu, Arshad memberitahu, mangsa mendakwa suspek telah mengurungnya di dalam bilik utama rumah sebelum kebakaran itu dapat dipadamkan.
“Selepas membakarnya, suspek telah mengurung mangsa di dalam sebuah bilik utama rumah tersebut.
“Mangsa kemudian masuk ke dalam bilik air untuk memadamkan api di baju dan mendapati beberapa anggota badannya serta kedua-dua tangan melecur,” katanya.
Tambahnya, suspek yang dikenali sebagai Mohamad Nasir Daud itu kemudian bertindak melarikan diri dan usaha mengesan lelaki itu sedang dijalankan.
Pemeriksaan di lokasi, polis turut merampas gergaji rantai jenama STIHL MS180, sebuah beg sandang, telefon bimbit, sebatang cota kayu dan wang tunai sebanyak RM50.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah. -K! ONLINE