Oleh KHAIRULMIZAN YAHYA
KUANTAN – Lebih 300 hektar kawasan hutan tanah gambut tiga daerah di negeri ini iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin mengalami kebakaran sekaligus menyumbang kepada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat terutamanya bahagian selatan negeri ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, kawasan tanah gambut berkenaan dikesan mula mengalami kebakaran awal bulan ini sebelum operasi kebakaran giat dilakukan.
“Pemantauan daripada udara mendapati banyak kawasan ‘hotspot’ (kawasan panas) mengalami kebakaran dan kawasan yang paling besar terjejas adalah di Muadzam Shah, Rompin membabitkan 300 hektar hutan simpan.
“Anggota kami sedang bertungkus lumus memadamkan kebakaran itu bagi mengelakkan api merebak berikutan kawasan kebakaran itu berhampiran dengan ladang sawit,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurutnya, seramai 200 anggota bomba terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran hutan di kawasan terbabit yang dilakukan secara berterusan termasuklah menggunakan pesawat untuk pemadaman udara dan menghantar pasukan khas.
“Selain itu kita juga membuat ‘fire break’ dengan membabitkan operasi bersama Pejabat Hutan Negeri bagi mencegah kebakaran dari terus merebak selain turut mendapat bantuan daripada pihak ladang dalam operasi pemadaman.
“Pemantauan berterusan akan dilakukan bagi membendung daripada berlaku kebakaran baru atau berulang terutamanya berhampiran kawasan yang mempunyai penduduk atau ladang,” katanya. -K! ONLINE