fbpx

RM29 juta naik taraf sistem pengairan padi Parit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad (empat dari kiri) melakukan gimik menabur benih padi ketika melakukan lawatan kerja di kawasan sawah padi Parit hari ini.

PARIT – Kerajaan memperuntukkan RM29 juta bagi menaik taraf sistem pengairan sawah padi di kawasan Parit dalam daerah Perak Tengah dan sebahagian Kuala Kangsar yang bakal memberi manfaat kepada lebih 4,000 pesawah.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata ia melibatkan enam tali air iaitu Rumah Pam Bota Kiri, Pendiat, Parit, Senin dan Lambor Kiri di Parit serta Rumah Pam Sayong di Kuala Kangsar.

“Peruntukan ini adalah Rolling Plan 1 dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) dan buat permulaan kerja menaik taraf itu akan dilakukan di Rumah Pam Bota Kiri dan Pendiat terlebih dahulu.

“Sekarang dalam peringkat dokumentasi dan dijangka tender boleh dikeluarkan pada Julai ini,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di kawasan projek penanaman padi Parlimen Parit di Pondok Ladang Bendang Parit di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Khairul Shahril Mohamed dan Adun Belanja, Khairudin Abu Hanipah.

Menurut Ahmad, apabila projek menaik taraf itu siap nanti, ia akan meningkatkan keberkesanan pengurusan air ke kawasan sawah secara tidak langsung dapat meningkatkan hasil padi seterusnya meningkatkan pendapatan petani.

Pada masa sama, katanya, kerja-kerja menaik taraf tali air daripada tanah kepada konkrit sepanjang 11 kilometer (km) dan pembinaan jalan ladang sepanjang 10 km bernilai RM8.2 juta di kawasan Ladang Bendang Parit yang sedang dilaksanakan sekarang, dijangka siap kira-kira tiga bulan lagi.

Dalam lawatan itu, Ahmad juga meluluskan peruntukan segera RM100,000 untuk penyelenggaraan tali air dan jalan ladang di kawasan tersebut.

Jelasnya lagi, kawasan sawah padi di Parit yang juga dikenali Sawah Padi Kubang Aji seluas 3,165 hektar mempunyai potensi berdaya maju dalam mengeluarkan hasil padi yang banyak.

Katanya, ini kerana walaupun kawasan itu berada di luar jelapang padi, ia mampu menghasilkan purata 4.3 metrik tan padi sehektar atau penanaman dua musim setahun berbanding purata pengeluaran hasil padi seluruh Perak sebanyak 3.1 metrik tan sehektar.

“Cuma kawasan ini sering menghadapi masalah pengairan terutama ketika musim kemarau,” katanya sambil berharap projek menaik taraf rumah pam dslam RMK-12 mampu menangani masalah itu pada masa hadapan.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI