fbpx

Fitnah: Ismail Sabri saman Anina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memfailkan saman terhadap bekas Ketua Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Anina Saadudin berhubung kata-kata fitnah yang dimuat naik dalam Facebook miliknya sejak Februari lalu hingga awal bulan ini.

Ismail Sabri, 61, selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu dalam kapasiti peribadinya melalui Tetuan Kesavan pada 5 Mac lalu di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Anina, 46, selaku defendan tunggal.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Ahli Parlimen Bera itu mendakwa Anina telah menerbitkan 13 kata-kata fitnah dan turut memuat naik video di dalam Facebook miliknya.

Anina antara lain mendakwa menteri itu tidak kompeten dalam menjalankan tugasnya ketika melaksanakan peraturan-peraturan ketat untuk memerangi penyebaran Covid-19 menerusi PKP.

Dakwa plaintif, 13 penyiaran kata-kata fitnah dibuat oleh Anina bermula 5 Februari hingga 3 Mac lalu menerusi Facebooknya kemudian turut dikongsi oleh pengguna laman sosial itu.

Akibat kata-kata fitnah itu, Ismail Sabri mendakwa reputasinya turut terjejas dan siaran-siaran fitnah yang dibuat oleh defendan adalah berniat jahat untuk mencederakan dan menjatuhkan nama baik serta imej plaintif.

Justeru, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relif lain difikirakan sesuai oleh mahkamah.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memfailkan permohonan secara ex parte (sebelah pihak) untuk mendapatkan perintah injunksi bagi memaksa Anina dengan serta-merta memadamkan kesemua penyiaran fitnah mengenai plaintif di akaun Facebook defendan dan injunksi bagi menghalang defendan atau wakilnya daripada membuat penyataan fitnah menerusi media sosial yang diuruskan oleh defendan.

Ismail Sabri memfailkan permohonan itu atas alasan defendan secara berterusan sejak awal Februari lepas, menyiarkan beberapa kata-kata fitnah terhadap plaintif, yang tidak benar.

Permohonan perintah injunksi itu didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril hari ini.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI