LIPIS – Seorang pekerja lombong maut selepas pacuan empat roda dipandunya bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 22 Jalan Lipis-Merapoh di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 9.10 malam itu menyebabkan mangsa, Ng Kong Yuen,40, yang berasal dari Padang Tengku di sini meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Lipis, Deputi Superintendan Azli Mohd. Noor berkata, kejadian berlaku ketika sebuah treler sedang membelok masuk ke susur masuk Lebuh Raya Central Spine Road (CSR).
“Semasa memasuki susur tersebut datang kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu mangsa dari arah bertentangan yang melanggar bahagian hadapan treler.
“Akibat kemalangan itu, pemandu pacuan empat roda maut di tempat kejadian dan penumpang kenderaan itu mengalami luka-luka di badan manakala pemandu treler tidak mengalami kecederaan,”katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Lipis untuk bedah siasat dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati semasa kejadian cuaca adalah baik dan permukaan jalan kering.
“Persimpangan berlampu isyarat itu mempunyai lampu isyarat tetapi tidak berfungsi yang mana semasa kejadian lampu isyarat berkelip lampu kuning sebagai tanda amaran,”ujarnya.-K!ONLINE