SEBERANG PERAI – Seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas lapan pertuduhan mendapatkan suapan dengan mencadangan syarikat adik kandungnya bagi pembelian beberapa peralatan pembersihan pada Ogos 2016.
Tertuduh, Sumardi Yazid, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.
Mengikut kesemua kertas pertuduhan, Sumardi didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan mencadangkan Syarikat Perkhidmatan Disinfeksi GMY milik adiknya, Ahmad Razimi, 36, sebagai pembekal barangan am dalam Borang Permohonan Pembelian Bekalan/Perkhidmatan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu membabitkan pembelian beberapa barangan seperti plastik sampah, barangan pembersihan dan bekas penyembur 5 liter yang keseluruhannya bernilai RM25,887.
Sumardi didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah di Berapit, Bukit Mertajam di sini.
Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di antara 1 hingga 9 Ogos 2016.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Selvaranjini, manakala tertuduh diwakili peguam Ang Chun Pun.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 beserta seorang penjamin selain perlu melapor diri di pejabat SPRM berdekatan pada setiap bulan sehingga selesai perbicaraan dan menyerahkan pasport.
Kes itu akan disebut semula pada 13 April depan. – K! ONLINE