PETALING JAYA – Bakal melangsungkan pernikahannya esok, pelakon Risteena tidak terlepas daripada melakukan ujian calitan sebagai salah satu syarat prosedur operasi standard yang ditetapkan.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, Risteena atau nama sebenarnya Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, 32, dilihat begitu takut hingga menggeletar sewaktu ujian calitan dijalankan.
“Hey, i bukan mengada lah. Memang takut pun. Alhamdulillah selesai ujian calitan dan keputusan kami negatif. Tapi bukanlah sakit sangat pun.
“Bila dapat tahu, untuk akad nikah ni kena buat ujian calitan, terus terketar-ketar. Tapi tak dapat nak lari dan elak. Nak kahwin kan,” tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang terhibur dengan reaksi dan ketakutan yang ditunjukkan secara spontan pelakon filem Blok 404 itu.
Pada masa sama, rata-rata pengikut dan rakan artis turut tidak melepaskan peluang mendoakan agar urusan pernikahan Risteena dan tunangnya yang juga pelakon, Isa Khan dipermudah serta dilancarkan.
Kosmo! 1 Mac lalu melaporkan Risteena mengesahkan bakal menamatkan zaman bujang pada bulan ini.
Sebelum ini, Risteena dan Isa merancang untuk mendirikan rumah tangga pada penghujung tahun lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat murni tersebut berikutan penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Pasangan selebriti itu mengikat tali pertunangan pada 23 November 2019 di Bali, Indonesia. – K! ONLINE