fbpx

151 penunggang motosikal disaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 151 penunggang motosikal dikenakan saman atas pelbagai kesalahan dalam satu operasi kesalahan teknikal yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) di lorong motosikal, Plaza Tol Batu 9 di sini hari ini.

Operasi yang bermula pada pukul 3 petang itu telah disertai seramai 50 anggota termasuk pegawai dan berakhir pada pukul 6.30 petang.

Pengarah JPJ WPKL, Mohd. Zaki Ismail berkata, sebanyak 344 kesalahan berjaya dikesan membabitkan pemeriksaan terhadap 1,051 buah motosikal.

“Antaranya ialah tiada insurans kenderaan (17), lesen kenderaan (206), nombor plat kenderaan tidak mengikut spesifikasi (86), ubah suai ekzos (3) manakala lain-lain kesalahan teknikal melibatkan tiada cermin sisi, tayar tidak mengikut spesifikasi dan lampu brek tidak berfungsi (32).

“Operasi ini memfokuskan kesalahan-kesalahan teknikal ke atas motosikal selain turut memberi penerangan kepada para penunggang untuk mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan,” katanya ketika sidang akhbar selepas Operasi Pengarah Kesalahan Teknikal di sini hari ini.

Jelas Zaki, kesemua anggota yang terlibat bukan sahaja mengeluarkan saman malah turut memberi penerangan tentang kesalahan yang dilakukan oleh pengguna supaya mereka dapat mengubah dan mengikut spesifikasi kenderaan seperti yang telah ditetapkan.

“Kami tidak hanya melakukan operasi ini semata-mata mahu mencari kesalahan tetapi untuk memastikan setiap pengguna jalan raya selamat dari segi spesifikasi kenderaan kerana ia sangat-sangat penting.

“Kita ambil contoh jika tayar kecil dan tidak stabil bukan hanya membahayakan nyawa penunggang malah pengguna jalan raya yang lain,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI