fbpx

JDT berpeluh tundukkan Penang FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYERANG sensasi, Rodriguez meraikan jaringan kedua ketika membantu JDT menewaskan Penang FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri kelmarin. – FOTO RAJA JAAFAR ALI

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

KETUA jurulatih kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora berpuas hati dengan kemenangan 2-0 ke atas Penang FC selepas skuad Harimau Selatan dipaksa berhempas pulas pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri kelmarin.

Mora berkata, kedegilan benteng pertahanan lawan begitu menguji kesabaran jentera sera­ngan Harimau Selatan yang bertali-arus melancarkan serangan bagi mencari gol pembukaan.

Katanya, pendatang baharu Liga Super itu tidak gentar dengan kehebatan pasukan tuan rumah, malah memberi kesukaran kepada anak-anak buahnya untuk menembusi benteng pertahanan mereka.

“Mereka memberi tekanan dan mengawal ketat pergerakan kami hingga membuatkan pasukan bermandi peluh dan buntu untuk mencari peluang gol.

“Pada babak kedua, kami menggandakan asakan dan mela­kukan pertukaran pemain dengan membawa masuk Safiq Rahim dan Arif Aiman Hanapi hingga berjaya membawa perubahan terhadap jentera serangan.

“Hasilnya, kami berjaya me­nembusi pertahanan mereka dan menjaringkan dua gol pada 10 minit terakhir perlawanan. Mujur juga mereka tidak berpeluang meledak sebarang gol, jika tidak is pasti lebih sukar buat kami,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Leandro Velazquez dan Fernando Rodriguez masing-masing menjaringkan satu gol bagi membantu penyandang juara itu kekal di takhta liga.

Mora turut menghamburkan pujian terhadap Rodriguez yang disifatkan sebagai penyerang yang rajin dan mampu memikul tugas sebagai mesin gol buat JDT.

“Fernando bukan pemain yang mempunyai skil tinggi, licik menggelecek untuk melepasi lawan tapi dia mampu melaksanakan tugas dengan baik sebagai pemain nombor 9. Pada saya, dia adalah aset buat JDT dan memainkan peranan penting dalam pasukan,” katanya.

Mengenai Safawi Rasid pula, Mora memberitahu, penyerang prolifik itu mampu menjadi penyerang yang menggerunkan jika bijak membaca permainan.

“Malam ini bukan malam Safawi setelah dia dikawal ketat pertahanan lawan. Ini adalah keadaan yang dia perlu biasakan diri dan perlu cepat untuk membaca permainan. Dia pemain yang bagus, saya tak rasa itu akan menjejaskan kualitinya pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI