fbpx

Maybank bukan lagi ‘pengacau’ musim ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN Maybank mahu membuktikan kemampuan dengan cuba menjulang sekurang-kurangnya satu gelaran musim ini selepas turut menyasarkan mara ke final Piala TNB.

KETUA jurulatih Maybank, Azrul Effendy Bistamam meletakkan sasaran muncul sebagai tiga pasukan teratas saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) yang berlangsung menggunakan konsep gelembung sukan bermula hari ini hingga 3 April depan.

Bagi Azrul, Maybank sudah tidak berminat dianggap pasukan pengacau kepada perebutan kejuaraan antara gergasi-gergasi hoki tanah air seperti juara bertahan, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sebaliknya, gabungan pemain-pemain Maybank yang sudah dibentuk sejak tiga tahun lalu bersedia untuk membuktikan kemampuan mereka dengan cuba menjulang sekurang-kurangnya satu gelaran musim ini selepas turut menyasarkan mara ke final Piala TNB.

“Setiap tahun kami dianggap sebagai underdog dan pengacau tetapi kali ini kami akan beri saingan kepada pasukan-pasukan besar. Saya terapkan kepada pemain supaya ada mentaliti tidak gentar bertemu lawan yang lebih hebat.

“Memandangkan hanya enam pemain kebangsaan boleh berada di atas padang, saya sasarkan untuk menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik (MHL) dan final Piala TNB,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada masa sama, Azrul mengingatkan barisan pemainnya agar menghormati pasukan yang dibarisi majoriti pemain muda iaitu TNB Thunderbolts menjelang aksi pembuka tirai MHL 2021 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam ini.

“Kita tak boleh anggap mereka budak sekolah walaupun rata-rata pemain remaja bawah 19 tahun. Jangan sesekali pandang rendah kemampuan Thunderbolts,” jelasnya selepas daftar masuk gelembung sukan MHL bersama pasukannya di Hotel Pullman, Bangsar semalam.

Nama seperti Muhammad Haziq Samsul, Meor Muhamad Azuan Hasan, Joel Samuel van Huizen dan tonggak pertahanan baharu daripada UniKL, Muhammad Najmi Farizal Jazlan pastinya menjadi sandaran utama Maybank untuk mencapai matlamat musim ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI