DORTMUND – Bintang Norway, Erling Braut Haaland terus mempamerkan ketajamannya di depan gawang gol apabila kali ini meledak dua lagi gol buat Borussia Dortmund ketika seri 2-2 dengan Sevilla di Signal Iduna Park awal pagi semalam.
Kecemerlangan penyerang prolifik berusia 21 tahun itu menyaksikan Dortmund mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara dengan agregat 5-4 ke atas Sevilla selepas menang 3-2 sewaktu aksi pertama di Sepanyol bulan lalu.
Lebih menarik, Haaland turut menjaringkan dua gol ketika itu dan kini sudah mengumpul keseluruhan 10 jaringan sekali gus mendahului senarai penjaring terbanyak kempen Liga Juara-Juara musim ini.
“Haaland adalah seorang pemain yang cukup hebat dan menghiburkan. Dia tidak pernah jemu menjaringkan gol sehingga membolehkan kami muncul antara lapan pasukan terbaik di Eropah,” kata ketua jurulatih Dortmund, Edin Terzic.
Haaland kini empat gol mengatasi lima lagi pencabarnya dengan jumlah enam jaringan iaitu Alvaro Morata (Juventus), Marcus Rashford (Manchester United), Neymar (Paris Saint-Germain), Olivier Giroud (Chelsea) dan Youssef En-Nesyri (Sevilla).
Sementara itu, pengendali Sevilla, Julen Lopetegui mengakui, skuad bimbingannya tewas disebabkan ketajaman penyudah yang dimiliki Haaland biarpun bangkit meledak dua gol awal pagi semalam menerusi dua jaringan En-Nesyri. –AGENSI