MANCHESTER – Kapten Manchester United, Harry Maguire tidak sabar untuk menguji taring salah satu gergasi Eropah dari Itali, AC Milan pada aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Europa di Stadium Old Trafford awal pagi esok.
Maguire, 28, percaya United bakal berhadapan laluan sukar, namun tetap optimis mampu meraih keputusan positif berdasarkan kecemerlangan prestasi mereka yang belum kalah 11 perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan sejak 28 Januari lalu.
“Milan adalah kelab besar sejak saya kecil lagi. Mereka juga mempunyai stadium yang cukup ikonik iaitu San Siro. Saya sangat teruja apabila kami diundi bertemu Milan.
“Malah, saya percaya semua orang juga tidak sabar untuk menghadapi perlawanan bertemu pasukan seperti Milan.
“Kami tak boleh pandang rendah kerana Milan sekarang sudah kembali ke tahap sebenar. Mereka juga ada pemain seperti Diogo (Dalot) yang mengetahui semua perkara mengenai United selepas dipinjamkan kepada Milan musim ini,” katanya.
Bagaimanapun, United berkemungkinan besar tidak dapat menurunkan penyerang England, Marcus Rashford untuk perlawanan awal pagi esok kerana masih belum mendapat kebenaran beraksi disebabkan kecederaan.
Rashford dilaporkan mengalami masalah di bahagian pergelangan kaki ketika membantu The Red Devils mencatat kemenangan 2-0 ke atas musuh setempat, Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris di Etihad, Isnin lalu.
Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer juga kehilangan beberapa pemain seperti Paul Pogba, Donny Van De Beek, Edinson Cavani, Juan Mata dan Phil Jones selain Luke Shaw serta Anthony Martial pula masih belum cergas. – AGENSI