EDINBURGH – Pengurus Rangers, Steven Gerrard menolak semua cadangan mengaitkan dirinya sebagai pengganti Jurgen Klopp untuk mengemudi Liverpool.
Klopp masih memiliki kontrak di Anfield sehingga 2024 tetapi spekulasi kini bertiup kencang mengenai statusnya bersama pasukan itu selepas mereka hampir pasti gagal untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim lalu selain kekalahan enam perlawanan di laman sendiri.
Selain itu, Klopp juga dikaitkan dengan pasukan kebangsaan Jerman selepas pengendali semasa, Joachim Low mengumumkan bahawa beliau akan melepaskan jawatan tersebut selepas berakhirnya saingan Euro 2020 nanti.
Ekoran beberapa faktor tersebut, nama Gerrard muncul sebagai antara calon pengganti Klopp selepas beliau berjaya mengemudi Rangers menamatkan penantian 10 tahun untuk muncul juara Liga Scotland musim ini.
Namun, legenda Liverpool berusia 40 tahun itu mengakui sangat teruja untuk kembali ke Liverpool tetapi tidak begitu berminat dengan jawatan berkenaan dan lebih berminat untuk memberikan sokongan kepada Klopp untuk terus membimbing The Reds.
“Peminat Liverpool tidak mahu saya menjadi pengurus pasukan itu. Mereka mahu Jurgen Klopp meneruskan tugasnya dan saya bersama-sama mereka menyokong pendapat tersebut,
“Kami mempunyai seorang pengurus yang terbaik. Saya sangat sayangkan Klopp dan kami berharap beliau mampu kekal untuk tempoh beberapa tahun lagi. Saya masih mempunyai tugas di sini (Rangers), saya tidak fikir ia mampu membantu apa-apa dengan bercakap mengenai masa depan Klopp bersama Liverpool,” jelasnya. – AGENSI