WASHINGTON – Orang ramai mendaftar untuk mendapatkan giliran memeluk lembu di Amerika Syarikat (AS) dengan alasan kurang kasih sayang semasa musim pandemik ini, lapor portal akhbar Gulf News, kelmarin.
Seorang pengunjung, Renee Behinfar, 43, berkata, tempoh pengasingan akibat pandemik sangat menyakitkan dan membuatkan dia rindu terhadap kehangatan sentuhan.
“Ini pelukan sebenar saya tahun ini,” katanya yang ditemui di Ladang Perlindungan Haiwan Aimee, Queen Creek, Phoenix.
Ladang itu mempunyai kira-kira 100 haiwan ternakan yang sedia dipeluk dalam sesi berharga berharga $75 (RM309) sejam.
Setakat ini, semua slot sudah habis ditempah sehingga Julai akan datang.
Pemiliknya, Aimee Takaha, berkata, dia mendapat kira-kira 20 panggilan sehari sepanjang penularan pandemik Covid-19
Ia adalah satu peningkatan ketara sejak mula menawarkan perkhidmatan ini hampir lima tahun lalu.
“Ia seperti pil gembira,” katanya sambil menambah lembu bukan sahaja suka dipeluk malah gemar meletakkan kepala di riba pengunjung dan berguling-guling di sisi mereka.
Sementara itu, pemilik ladang di Naples, New York, Suzanne Vullers berkata, ladangnya menawarkan sesi memeluk lembu beberapa hari seminggu dari Mei hingga Oktober dengan ramai pelanggan merebut peluang dengan melakukan tempahan awal.
Katanya, ia menjadi tarikan utama buat warga kota yang berusaha membebaskan diri daripada tekanan.
“Meluangkan masa dengan haiwan besar adalah satu daripada cara yang dapat anda lakukan untuk hilangkan tekanan perasaan.
“Anda tidak boleh memeluk rakan atau cucu anda. Dalam keadaan sekarang, kita masih perlu berhati-hati jadi memeluk lembu adalah pilihan terbaik,,” katanya. – Agensi