BALING – Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditungganginya dilanggar sebuah kereta yang terbabas di simpang tiga Kampung Carok Kelian, Jalan Sungai Limau, Parit Panjang di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.54 pagi tadi, mangsa, Azhar Budin, 35, yang berasal dari Kampung Belakang Sekolah Kebangsaan Asam Jawa di sini yang menunggang motosikal jenis Honda RS150 meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Bezza dipandu anggota polis unit kereta peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Baling terbabas masuk ke laluan bertentangan.
“Kereta tersebut kemudian merempuh motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, kemalangan mengakibatkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala anggota polis terlibat mengalami kecederaan ringan.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk dibedah siasat,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE