fbpx

Perak kaji cadangan pembinaan terowong air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (dua dari kanan) mendengar permasalahan rakyat pada program Mesra di Dewan Dato Zainal Abidin Zin, Bagan Serai hari ini.

BAGAN SERAI – Kerajaan negeri Perak akan memulakan kajian pada tahun ini berhubung cadangan pembinaan terowong air dari Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air yang sering dihadapi pesawah terutama musim kemarau.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, setiap kali musim penanaman padi, masalah utama yang sering dihadapi pesawah adalah kekurangan air berikutan air di tasik ini bukan sahaja digunakan untuk pengairan sawah padi sahaja malah turut digunakan sebagai kegunaan domestik lain.

Menurutnya, bagi memastikan bekalan air itu sentiasa mencukupi, kerajaan negeri dijangka akan menyegerakan proses kajian dan pelaksanaannya.

“Cadangan terowong air itu merupakan satu cadangan yang dijangka boleh menyelesaikan masalah kekurangan air yang dihadapi pesawah di Kerian kerana kita boleh menghantar air dari Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah apabila diperlukan seperti musim kemarau ini.

“Kajian cadangan itu akan dimulakan dalam kadar segera tahun ini termasuklah mengkaji paras air Sungai Perak sama ada ia mencukupi atau sebaliknya.

“Selain itu, kita juga tidak boleh menggunakan air empangan di negeri ini kerana boleh menggangu bekalan sistem jana kuasa elektrik,” katanya selepas hadir program Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) di Dewan Dato Zainal Abidin Zin di sini hari ini.

Menurutnya lagi, masalah kekurangan bekalan air ini sering menjadi punca utama kemerosotan hasil padi di daerah Kerian.

Ditanya mengenai cadangan pembinaan sebuah lagi tasik bagi menampung sistem pengairan di daerah ini, beliau menegaskan ia bukanlah cadangan sesuai berikutan ketiadaan punca air.

Sementara itu, Saarani menegaskan program perjumpaan terus dengan rakyat hari ini menjadi medium penyelesaian segera terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan.

“Tidak semua perkara yang diutarakan dapat diselesaikan segera dan perlu melalui mesyuarat dan siasatan.

“Namun program hari ini membuka jalan kepada rakyat untuk menyelesaikan sebarang permasalahan yang dihadapi mereka tidak kira apa isu,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI