PETALING JAYA – Seorang tahanan lelaki berusia 54 tahun ditemui mati tergantung pada jeriji besi pintu lokap di Balai Polis Cheras dalam satu kejadian kelmarin.
Lelaki yang lengkap memakai baju tahanan itu ditemui kira-kira pukul 12.30 tengah hari oleh petugas di lokap tersebut semasa proses membawa keluar tahanan lain di lokap bersebelahan untuk proses siasatan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, ketika kejadian, tahanan tersebut berada di lokap seorang diri ekoran tahanan lain yang ditempatkan dalam lokap yang sama telah dibawa keluar ke Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur untuk proses pertuduhan.
“Berdasarkan rekod, tahanan itu telah ditangkap pada 4 Mac lalu atas kesalahan memiliki dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Hasil ujian saringan air kencing selepas ditahan juga mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine dan direman bermula 4 Mac hingga hari ini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, hasil semakan mendapati tahanan itu mempunyai empat rekod jenayah lampau antaranya berkaitan dadah, ugutan jenayah dan memiliki senjata api.
Dalam masa yang sama, ujar beliau, Koroner dari Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur telah hadir menjalankan siasatan di lokap tersebut semalam sekitar pukul 3 petang.
“Ia diikuti Pakar Patologi dari Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) yang turut menjalankan siasatan di lokap terbabit sekitar pukul 3.05 petang, pada hari yang sama,” ujarnya.
Katanya, proses bedah siasat ke atas tahanan telah dijalankan semalam di HCTM. – K! ONLINE