PETALING JAYA – Polis menahan 10 individu disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dalam tiga serbuan berbeza di sekitar Jalan Kenanga, Kampung Sungai Kayu Ara dan Bandar Utama.
Serbuan telah telah dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 8 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, serbuan pertama dilakukan pada pukul 9 malam dan berjaya menangkap seorang suspek berusia 25 tahun di sebuah kedai runcit.
“Hasil pemeriksaan di dalam kedai tersebut menemui sebuah beg plastik berwarna oren berisi satu peket plastik lutsinar mengandungi dua ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 505 gram yang diletakkan dalam peti ais.
“Polis turut membuat satu lagi serbuan di kawasan yang sama dan berjaya menemui 12 peket plastik lutsinar berisi ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 80 gram. Keseluruhan rampasan bernilai RM5,500,” katanya ketika sidang akhbar di IPD Petaling Jaya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, polis turut berjaya menangkap tujuh orang lelaki warga tempatan berusia di antara 19 hingga 25 tahun disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dalam satu lagi serbuan di sebuah rumah di kawasan yang sama.
“Polis menemui satu peti plastik berpenutup berwarna oren yang mengandungi beg galas berwarna hitam.
“Di dalam beg galas tersebut terdapat tiga ketulan mampat daun-daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 530 gram, 35 paket plastik lutsinar berisi ganja seberat 325 gram dan satu ketulan mampat ganja seberat 1020 gram,” jelasnya.
Jelasnya polis turut merampas wang tunai bernilai RM5,360 dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM9,500.
“Kesemua suspek sudah ditahan reman selama tujuh hari sehingga 15 Mac depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,”ujarnya.
Dalam pada itu, katanya sepasukan polis dari IPK Kuala Lumpur menahan dua lelaki berusia 29 dan 30 tahun di sebuah rumah di Bandar Utama yang disyaki ada kaitan dengan tangkapan awal di Kampung Sungai Kayu Ara.
“Kedua-dua suspek terbabit direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan hasil ujian air kencing mendapati mereka positif dadah. – K! ONLINE