Oleh PETAH WAZZAN ISKANDAR
PUTRAJAYA – Seramai 186 pengamal perubatan swasta diberi kuasa untuk membantu usaha menangani penularan wabak Covid-19 bermula esok.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ia berdasarkan Ordinan Darurat, Seksyen 10 (2) Akta 342 yang memberi kuasa kepada pihak pengamal perubatan swasta mengendalikan kes positif di tempat masing-masing sama ada di klinik atau hospital swasta.
Beliau berkata, pengamal perubatan swasta itu boleh mengesan, mengasing, memakaikan gelang dan memberi rawatan serta mengeluarkan arahan kuarantin di rumah atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
Menurutnya, semua pengamal perubatan swasta itu akan diberi garis panduan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) kawasan masing-masing.
“Mereka akan melaksanakan tugas dengan mengikut garis panduan yang diberikan bagi memastikan usaha mengekang penularan Covid-19 dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan pantas,” katanya dalam sidang akhbar sempena majlis pelancaran buku ‘The Covid-19 Chronicles Of Malaysia | Navigating The Storm’ di pejabatnya di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.
Adham berkata, kesemua 186 petugas itu membabitkan negeri Selangor (66), Kuala Lumpur (43), Johor (26), Pulau Pinang (16), Negeri Sembilan (13), Perlis (4), Melaka (4), Perak (3), Terengganu (3), masing-masing dua di Pahang, Kelantan dan Sabah serta satu di Kedah dan Putrajaya.
Pada masa sama, beliau turut menyeru kepada mana-mana pengamal perubatan swasta yang berminat untuk membantu kerajaan bolehlah mendaftar dengan KKM.
“Pembabitan lebih ramai pengamal perubatan swasta sudah pasti mampu mengawal penularan Covid-19 sekali gus memutuskan rantaian dan membebaskan negara ini dari wabak itu,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya berkeyakinan sebanyak 60 peratus daripada 500,000 barisan hadapan akan berjaya divaksin, hujung minggu ini.
“Buat masa ini, sebanyak 195, 923 individu sudah divaksin. Malah sehingga pukul 8 pagi tadi, seramai 4,680,531 orang sudah mendaftar untuk disenaraikan sebagai penerima vaksin,” katanya. – K! ONLINE