PUTRAJAYA – Setelah tertangguh 20 tahun, Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ) Kota Perdana bakal mula dimajukan tidak lama lagi dan diunjurkan siap pada pertengahan tahun depan.
Projek pembangunan hartanah meliputi keluasan 1,780 hektar di Bukit Kayu Hitam, Kedah itu sekali gus akan mengubah suasana imej ‘lesu’ bandar sempadan Malaysia-Thailand tersebut.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, lokasi itu malahan akan dibahagikan kepada tiga komponen utama antaranya hab logistik darat yang lebih efisien.
“Ini akan memangkin pertumbuhan jaringan perkhidmatan penghantaran barangan yang hubung kawasan industri baharu di wilayah selatan Thailand ke Pelabuhan Pulau Pinang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjanjian Jual Beli Tanah SBEZ Kota Perdana antara Northern Gateway Free Zone Sdn. Bhd. dan Hartalega NSM Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon dan Pengerusi Hartalega Holdings Berhad, Kuan Kam Hon.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, dua komponen lagi meliputi zon perindustrian bebas dan zon komersial bebas yang dimajukan bagi menarik pelabur melakukan aktiviti ekonomi.
“Sukacita saya kongsikan bahawa kerja pembangunan prasarana utama serta pembinaan depoh lori dan pelepasan dalaman di hab logistik akan bermula dalam masa terdekat,” jelasnya. -K! ONLINE