PETALING JAYA – Seorang warga emas berketurunan Orang Asli yang hilang ketika menerima rawatan di Hospital Selayang sejak 1 Mac lalu ditemui mati tersangkut pada paip di tingkat enam, hospital berkenaan semalam.
Terdahulu, mangsa yang berusia 79 tahun itu dilaporkan hilang pada 1 Mac lalu dan satu laporan polis telah dibuat pihak hospital pada 3 Mac.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, mayat mangsa telah ditemui seorang juruteknik yang bertugas di hospital itu sekitar pukul 6.20 petang.
“Sebelum itu dia menerima aduan daripada kakitangan hospital yang memaklumkan terhidu bau busuk di bilik riser paip.
“Ekoran itu, juruteknik terbabit segera memeriksa di bilik riser paip tersebut dan menjumpai tangan milik seseorang dalam keadaan terkulai,” ujarnya kepada Kosmo! hari ini.
Jelasnya, khuatir dengan penemuan itu, dia kemudiannya naik ke tingkat enam dan terkejut selepas ternampak seorang lelaki berada di deretan paip berkenaan.
“Dia segera memaklumkan penemuan itu kepada Unit Keselamatan Hospital dan seterusnya membuat laporan polis di Pondok Polis Hospital Selayang.
“Polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati mayat tersebut merupakan seorang pesakit lelaki yang ditahan di sebuah wad pada 1 Mac lalu dan dia pernah dilaporkan hilang kepada pihak polis dua hari kemudiannya,” ujarnya.
Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Selayang bagi tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai Kes Mati Mengejut (SDR). – K! ONLINE