PARIT BUNTAR – Kerajaan negeri Perak bakal melancarkan rangka tindakan atau blue print ke arah menjadikan negeri berkenaan sebagai ‘lubuk emas’ ekonomi menjelang 2030.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, Institut Darul Ridzuan (IDR) kini sedang membuat persiapan rapi mengenai rangka tindakan itu sebelum ia dilancarkan pada 29 Mac depan.
“Blue print ini bertujuan menetapkan hala tuju yang akan dibawa kerajaan negeri selepas negara dilanda wabak Covid-19.
“Sudah tentu kita mahukan Perak sebagai sebuah negeri maju dan makmur apabila orang ramai dapat memberi tumpuan berkunjung dan mendiami di sini kerana kita harapkan negeri ini menjadi lubuk emas pada 2030,” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui pemberita selepas hadir Moh Ngopi Bersama Menteri Besar Perak sempena program Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) di Taman Seri Semarak di sini hari ini.
Tambah Saarani, kerajaan negeri mahu orang datang ke negeri itu yang memberi peluang kepada mereka untuk mencari sumber pendapatan sama seperti di Selangor dan Pulau Pinang.
Katanya, rangka tindakan yang dijangka dilancarkan pada 29 Mac depan itu akan dibentangkan kepada Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) kerajaan negeri terlebih dahulu bagi mendapat persetujuan dan kelulusan. – K! ONLINE