fbpx

Rokok seludup RM52 juta dirampas, sindiket terbesar tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abd. Rahim (kanan) bersama Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (dua dari kanan) melihat sebahagian dari 7,000 kotak rokok bernilai RM52 juta yang berjaya dirampas pada sidang akhbar di IPD Pontian, Pontian, Johor hari ini. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI

PONTIAN – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua melakukan rampasan rokok seludup terbesar dalam sejarah negara bernilai RM52 juta selepas menahan sebuah kapal kargo di Perairan Pantai Barat berhampiran Pulau Kukup, di sini Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar berkata, dalam operasi pada pukul 8.15 malam itu, pihaknya merampas 70 juta batang rokok pelbagai jenis.

Bertindak atas maklumat dan risikan, katanya, sepasukan Unit Risikan Marin PPM Wilayah Dua membuat pemantauan terhadap pergerakan sebuah kapal kargo MV Chita 2 daripada Myanmar ke Batam, Indonesia disyaki membawa muatan rokok seludup untuk dibawa masuk ke kawasan Pantai Barat negeri ini.

“Bot ronda PPM telah cuba memintas kapal tersebut dengan menyalakan lampu amaran polis dan membunyikan siren tetapi tidak mendapat kerjasama daripada kapten kapal yang enggan memberhentikan kapal.

“Kapal kargo tersebut berjaya ditahan dan berhenti di kedudukan kira-kira 2.9 batu nautika Barat Daya Pulau Kukup dengan bantuan dua Bot Ronda PPM.

“Hasil pemeriksaan ke atas kapal kargo itu menemui sebanyak 7,000 kotak mengandungi pelbagai jenis rokok tidak bercukai yang disembunyikan di dalam petak kapal kargo tersebut. Proses dokumentasi dan pengiraan nilai mendapati rokok beserta kapal adalah bernilai RM70,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian. Yang turut hadir ialah Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Dalam operasi itu, kapal kargo tersebut ditahan bersama seramai 9 kru termasuk kapten kapal yang merupakan warganegara Myanmar dan seorang warga Singapura berusia lingkungan 22 hingga 60 tahun.

Abd. Rahim berkata, kapal kargo berdaftar di Mongolia itu dikesan membuat perjalanan berulang-alik dari perairan Batam ke Perak sebanyak dua kali sejak Februari lalu.

Katanya, modus operandi secara pemindahan dari kapal yang melalui perairan antarabangsa telah dikenal pasti digunakan oleh penyeludupan.

Kesemua kru kapal kargo berkenaan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian bagi menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI