Oleh NIK SUKRY RAMLI
KUANTAN – Seorang penolong pegawai penyiasat yang berkhidmat di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Pekan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini, hari ini atas tuduhan menerima suapan berjumlah RM2,000, September tahun lalu.
Bagaimanapun tertuduh, Mohd Ridhuan Kasah, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.
Mengikut kertas pertuduhan, untuk tuduhan pertama, pada 18 September 2020 pukul 5 petang, tertuduh menerima RM1,000 daripada pengadu di bilik pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah IPD Pekan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pengadu.
Bagi tuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menerima RM1,000 daripada pengadu sama pada 19 September 2020 di Pekan Station 2, di bandar Pekan, kira-kira pukul 12.30 petang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa SPRM, Kamariah Seman manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Saifuldin Ab. Rahman.
Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 untuk kedua-dua tuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan, tertuduh perlu melapor diri di IPD Pekan setiap hujung bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 31 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – K! ONLINE