SEBERANG PERAI – Sepasang kekasih ditahan polis selepas didapati memiliki sejumlah dadah ketika pemeriksaan di satu sekatan jalan raya di Jalan Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pasangan berusia 25 dan 28 tahun berkenaan ditahan semasa menunggang motosikal kira-kira pukul 2 pagi.
“Kedua-dua mereka dikesan menaiki motosikal jenis Yamaha 125Z dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan bagi pemeriksaan lanjut.
“Polis kemudiannya menemui 12 biji pil Eramin 5 dan tujuh paket dadah disyaki syabu seberat 14.91 gram di dalam beg silang yang dibawa mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Noorzainy, siasatan lanjut mendapati suspek lelaki yang masih bujang tersebut positif syabu hasil ujian saringan air kencing, manakala wanita berstatus janda negatif ujian berkenaan.
“Suspek lelaki mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk dua berkaitan dadah, manakala wanita ada dua rekod berkaitan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Suspek juga mengaku dadah itu adalah milik mereka,” katanya lagi.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39(A)(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE