HULU TERENGGANU – Jenazah wanita yang mati dibunuh suami ketika sedang tidur di rumah mereka di Taman Saujana, Kota Tinggi, Johor pada 1 Mac lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Telaga di sini sebentar tadi.
Imam Masjid Kampung Telaga, Jusoh Salleh, 64, berkata, pengebumian jenazah ibu dua anak berusia 38 tahun tersebut selesai pada 5.30 pagi.
Beliau berkata, van yang membawa jenazah berkenaan tiba di kawasan tanah perkuburan berkenaan dari Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada pukul 4 pagi.
“Upacara pengebumian Allahyarham disegerakan atas permintaan keluarga. Alhamdulillah urusan dipermudah dan berjalan lancar.
“Kami kariah masjid kemudiannya melakukan tahlil ringkas sejurus pengebumian selesai,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Seramai kira-kira 50 ahli keluarga, saudara-mara dan penduduk kampung menghadiri upacara pengebumian berkenaan.
Sementara itu, ahli keluarga mangsa yang masih trauma dengan kematian tragis tersebut enggan ditemubual.
Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang suami tergamak membunuh isterinya sendiri dengan menembak pasangan hidupnya itu dari jarak dekat menggunakan senapang angin ketika mangsa sedang tidur akibat cemburu.
Setelah membunuh mangsa, suspek berusia 43 tahun itu menyumbat isterinya di dalam tong plastik sebelum menanam mayat wanita berkenaan di sebuah ladang di Bandar Penawar terletak kira-kira 30 kilometer dari tempat kejadian pada pukul 4.30 pagi hari sama. – K! ONLINE