KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) mencipta kejutan menumbangkan Selangor 3-1 pada aksi kedua Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad Sang Penyu gah di tangga kedua liga dengan mengutip enam mata penuh.
Selangor cemas seawal minit pertama namun tolakan pemain tengah TFC, Mohd. Faiz Nasir di depan pintu gol sekadar tersasar.
Memasuki minit kelapan, The Red Giants diuji lagi menerusi sepakan percuma Makan Konate namun berjaya ditepis keluar penjaga gol, Khairulazhan Khalid.
Aksi semakin rancak dengan giliran Selangor hadir ke kawasan berbahaya skuad Sang Penyu yang menyaksikan tandukan Shahrel Fikri Fauzi diselamatkan penjaga gawang tuan rumah, Rahadiazli Rahalim pada minit ke-12.
Dua minit berselang kelekaan tuan rumah nyaris dihukum Shahrel yang melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti namun sekadar menggegar palang.
TFC akhirnya diceriakan gol pembukaan pada minit ke-35 selepas penyerang importnya, Jordan Mintah menanduk hantaran lintang Konate dari sebelah kiri.
Rahadiazli kemudian melayangkan badan untuk menafikan sepakan percuma Wan Zack Haikal Wan Noor sekali gus mengekalkan jaringan 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
TFC memulakan babak kedua dengan agresif bermula larian Faisal Abdul Halim ke dalam kotak penalti sebelum rembatan padunya ditepis Khairulazhan pada minit ke-49.
Berpunca gerakan Konate, pemain gantian, Rahmat Makasuf yang masuk tidak sampai seminit melepaskan sepakan leret untuk melebarkan jaringan menjadi 2-0 pada minit ke-61.
Pintu gol TFC bolos jua pada minit ke-74 selepas bek tengah, Shahrul Nizam Roshasni tertampan masuk bola ke dalam pintu golnya sendiri.
Begitupun, Selangor terperangkap dengan asakan berterusan mereka apabila seorang pemain gantian, Hakimi Abdullah menambah derita melalui gol ketiga TFC melalui serangan balas dalam masa kecederaan. – K! ONLINE