PETALING JAYA – Taburan hujan yang rendah sejak Februari lalu, diikuti gelombang haba baru-baru ini melonjakkan permintaan elektrik puncak bagi Semenanjung Malaysia kepada 18,035 megawatt (MW) pada 2 Mac lalu.
Ia menghampiri permintaan puncak tertinggi yang pernah direkodkan negara iaitu 18,808MW pada 10 Mac 2020, lapan hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan bermula.
Sebagai perbandingan, 17,501MW direkodkan pada Februari dan 16,585MW pada Januari tahun ini.
Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dalam kenyataan semalam berkata, permintaan elektrik tinggi antara lain didorong oleh penggunaan penyaman udara lebih kerap dan tempoh yang panjang.
“Penggunaan elektrik dapat dijimatkan jika penyaman udara dioptimumkan dengan menetapkan suhu antara 24 hingga 26 darjah Celcius dan menutup tingkap dengan langsir yang tebal supaya haba tidak masuk.
“Penjimatan juga dapat dinikmati menerusi penggunaan pemasa (timer) untuk menutup penyaman udara pada awal pagi ketika cuaca mulai sejuk dan memasang kipas untuk mengekalkan suhu sejuk serta pengedaran udara di dalam bilik,” katanya.
Cuaca panas dijangka berterusan hingga pertengahan Mac dan Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran gelombang haba tahap berjaga-jaga dengan suhu antara 35 hingga 37 darjah Celcius di Chuping (Perlis), Kota Setar (Kedah), Alor Gajah (Melaka) dan Tangkak (Johor).