PETALING JAYA- Kerajaan dan majikan perlu menyediakan persekitaran kerja yang sama seperti di pejabat sekiranya mahu memperkenalkan kemudahan bekerja dari rumah (BDR) untuk sektor awam dan swasta.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, kemudahan serta kelengkapan yang baik seperti di pejabat wajar disediakan bagi memastikan produktiviti kerja dapat dicapai.
Jelas Adnan, persekitaran kerja yang baik untuk konsep BDR perlu meliputi penyediaan kemudahan capaian internet, komputer riba serta kelengkapan lain.
“Tiada gunanya jika kita melaksanakan konsep BDR ini tetapi hasil atau produktiviti yang kita harapkan tidak dapat dicapai akibat daripada persekitaran kerja yang tidak sesuai di rumah.
“Sedangkan mereka berhadapan dengan masalah yang kita tidak ketahui. Sekiranya konsep BDR mahu diperkenalkan pada masa akan datang, ia perlu dirangka dengan pendekatan yang menyeluruh agar tidak menjadi sia-sia,” katanya tadi.
Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan untuk untuk memperluaskan BDR bagi sektor awam dan swasta dengan gaji penuh.
Adnan berkata, Cuepacs menyambut baik cadangan itu berikutan merupakan satu keputusan yang tepat memandangkan ia boleh meningkatkan produktiviti negara terutamanya penglibatan golongan wanita dalam pasaran buruh. -K! ONLINE