BACHOK – Jenazah seorang lelaki yang maut dalam kejadian kes langgar lari di Kampung Pak Badol di sini terpaksa dibawa semula dari tanah perkuburan ke hospital selepas dipercayai berlaku kekeliruan berhubung punca kematiannya.
Mangsa, Che Azhar Che Lah, 51, meninggal dunia ketika sedang menunggang motosikal kira-kira pukul 9.45 malam semalam sepatutnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Serdang Muda, Pak Badol pagi , namun terpaksa dibatalkan atas arahan polis.
Adik mangsa, Cik Siti Aishah Che Lah, 42, berkata, difahamkan keadaan itu berlaku kerana terdapat kekeliruan laporan doktor mengenai kematian abangnya.
Katanya, jenazah Che Azhar yang merupakan peniaga air kelapa sepatutnya dikebumikan kira-kira pukul 11 pagi tadi selepas doktor mengeluarkan permit.
“Saya terkejut apabila jenazah abang yang sudah berada di tanah perkuburan perlu dibawa pulang ke rumah sebelum ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh apabila dimaklumkan oleh pihak polis.
“Kami sekeluarga juga mendapat maklumat bahawa jenazah abang perlu dibedah siasat semula untuk mengetahui punca kematiannya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.
Menurut Cik Siti Aishah, seorang lagi abangnya, Che Amran, 48, kemudian bergegas ke Balai Polis Bachok untuk membuat semula laporan supaya urusan pengkebumian dapat diselesaikan dengan segera.
Menceritakan mengenai kejadian yang menimpa mangsa, ujarnya, kemalangan berlaku ketika Che Azhar sedang menunggang motosikal seorang diri untuk membuang sampah kira-kira 20 meter dari rumahnya.
“Ketika itu, saya sedang berniaga burger di kawasan berhampiran dan mendengar satu bunyi dentuman yang kuat.
“Pada masa sama, saya melihat abang dalam keadaan melambung dan terjatuh di atas jalan raya selepas dirempuh sebuah motosikal yang datang dari arah Kota Bharu,” katanya.
Menurut Cik Siti Aishah, dia terus bergegas ke lokasi kejadian dan melihat abangnya itu sudah tidak sedarkan diri selain beberapa anggota badan berlumuran darah.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 12 tengah malam ketika sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Anis.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Mohd. Yusrizal Mohd. Ghazali ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan berhubung kejadian itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE