ALOR GAJAH – Kegiatan seorang lelaki menjual rokok seludup bernilai lebih RM20,000 menggunakan pintu belakang sebuah premis rumah kedai berjaya dihidu pihak polis. apabila kesemua 15,360 batang rokok dirampas dalam serbuan di Durian Tunggal, di sini semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 1 petang itu, suspek ditahan berusia 24 tahun dari Bakri, Muar, Johor.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, serbuan itu telah dilaksanakan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.
Katanya, hasil pemeriksaan di lokasi, sebanyak 128 karton rokok pelbagai jenis dipercayai tanpa cukai bernilai lebih RM20,000 dijumpai.
“Serbuan di bahagian hadapan mendapati premis ditutup dan seperti tidak beroperasi, namun pemeriksaan di bahagian belakang terdapat sebuah pintu dipercayai dibuka bagi kegiatan menjual rokok seludup.
“Pemeriksaan di bahagian dalam premis turut menjumpai 128 karton rokok tidak bercukai dengan anggaran pasaran semasa bernilai RM21,410,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Sukri berkata, pihaknya percaya suspek telah menjadikan premis itu sebagai stor bagi bekalan rokok seludup untuk pasaran peruncit-peruncit di sekitar Durian Tunggal sejak enam bulan lalu.
“Semakan lanjut suspek bagaimanapun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967, yang jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM500,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. -K! ONLINE.