fbpx

China miliki armada terbesar di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR tidak bertarikh menunjukkan kapal induk Liaoning (depan) belayar bersama beberapa kapal perang China lain semasa latihan di laut. –AFP

BEIJING – China dipercayai memiliki angkatan laut terbesar di dunia dengan bilangan kapal perang yang lebih banyak berbanding Amerika Syarikat (AS), lapor stesen penyiaran CNN baru-baru ini.

Perkembangan itu susulan laporan Jabatan Perisikan Tentera Laut AS (ONI) pada 2015 yang meramalkan tentera laut China akan memiliki lebih 360 kapal menjelang 2020 sekali gus mengatasi 297 kapal AS.

Menurut laporan ONI pada Disember 2020, matlamat itu sudah tercapai dan China kini memiliki angkatan laut terbesar di dunia dari segi jumlah kapal dan armadanya. ONI menyatakan, Republik Rakyat China (RRC) kini memerintah angkatan laut terbesar di dunia.

Selain menambah bilangan aset tentera laut, China turut memodenkan kapal-kapal tentera miliknya.

“PRC sedang membangunkan kapal perang moden, kapal selam, kapal induk, jet tempur, kapal perang amfibia, kapal selam peluru berpandu balistik nuklear, kapal pengawal pantai dan kapal pemecah ais pada kadar yang membimbangkan,” demi­kian menurut laporan tersebut.

Laporan bertajuk Advantage at Sea itu turut mendedahkan bahawa saiz kapal milik angkatan laut China bertambah dua hing­ga tiga kali ganda sejak 20 ta­hun lalu.

 

KUMPULAN gempur AS diketuai kapal induk USS Carl Vinson belayar di Laut Filipina pada 28 Mac 2017. – AFP

 

Menurut CNN, ONI meramalkan tentera laut China akan memiliki lebih 400 kapal perang menjelang 2025.

Matlamat Tentera Laut AS pula adalah memiliki armada dengan kekuatan 355 kapal menjelang 2025, sasaran yang jauh lebih rendah berbanding China.

Namun begitu, Tentera Laut AS memiliki beberapa ke­lebihan seperti mempunyai lebih ramai askar aktif berbanding China.

Berdasarkan laporan CNN, Tentera Laut AS mempunyai le­bih 330,000 anggota aktif berbanding 250,000 tentera laut China.

Penganalisis-penganalisis berka­­­­ta, AS juga memiliki kapal perang yang lebih berat dan lebih besar daripada China di samping mempunyai lebih banyak kapal pemusnah dan cruiser.

Armada kapal selam AS juga disifatkan lebih unggul berban­ding China dengan semua 50 kapal selam negara itu berkuasa nuklear berbanding hanya tujuh kapal selam nuklear China dalam armada 62 kapal selam.

Kelebihan tentera laut China pula terletak pada kapal-kapalnya yang lebih kecil dan sesuai untuk pertahanan kawasan pesisir melibatkan zon utama se­perti Laut China Selatan, perairan sekitar Taiwan dan pulau tuntutan bertindih iaitu Kepulauan Senkaku di Laut China Timur yang dituntut Beijing tetapi dikawal
oleh Tokyo.

“Kelebihan utama tentera laut China ke atas Tentera Laut AS adalah dalam rondaan dan pengawalan pantai atau kapal perang yang lebih kecil serta ringan,” kata penganalisis pertahanan di Institut Antarabangsa Pengajian Strategik, Nick Childs kepada CNN. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI