MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mahu para pemainnya kembali fokus untuk memburu gelaran juara Liga Perdana Inggeris selepas rekod kemenangan dalam 21 perlawanan mereka lebur di tangan seteru setempat, Manchester United 0-2 awal pagi semalam.
Biarpun berdepan kekalahan tersebut, City masih memiliki kelebihan 11 mata sebagai pendahulu berbanding United yang menduduki tempat kedua dan Guardiola mahu para pemain terus mempertahankan kelebihan tersebut.
“Kami menjadi tajuk berita kerana kami tewas selepas 21 perlawanan mencatat kemenangan. Apa yang perlu kami lakukan adalah kembali ke prestasi sebelum ini.
“Saya akan bercakap dengan pemain sebelum perlawanan menentang Southampton nanti. Saya mahu katakan betapa mereka adalah sebuah pasukan terbaik ketika ini.
“Segala-galanya di tangan mereka. Lawan kami (United) perlu memenangi kesemua perlawanan selepas ini dan kami perlu tewas dalam empat atau lima perlawanan untuk menjadikan peluang kembali terbuka,” katanya.
Pada aksi awal pagi semalam, City dilihat berdepan kesukaran untuk mencari jaringan terutama ketika United berjaya menunjukkan aksi bertahan yang cukup kemas selain mendapat jaringan menerusi serangan balas pantas.
“Ketika kami menentang West Ham, aksi kami sebenarnya lebih teruk berbanding kali ini. Kami tidak layak menang ketika menentang West Ham dan kali ini sebenarnya kami tidak layak untuk tewas.
“Kami tidak begitu klinikal ketika berada di hadapan pintu gol mereka. Penyerang kami kekeringan idea untuk memerangkap pemain pertahanan United,” jelasnya. – AGENSI