DORTMUND – Penyerang prolifik Borussia Dortmund, Erling Braut Haaland bakal menjadi igauan ngeri buat Sevilla selepas dilaporkan boleh beraksi dalam aksi timbal balik pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara di Signal Iduna Park awal pagi esok.
Terdahulu, peluang Haaland untuk beraksi dikatakan 50-50 ekoran mengalami kecederaan buku lali ketika tewas 2-4 kepada Bayern Munich pada aksi Bundesliga di Allianz Arena kelmarin.
Bagaimanapun, ketua jurulatih Dortmund, Edin Terzic memberi bayangan bintang Norway itu akan diturunkan mengetuai jentera serangan dan diharapkan dapat mengulangi kecemerlangan meledak dua gol ke atas Bayern.
“Saya jangka dia tidak berdepan masalah besar dan sempat pulih untuk perlawanan menentang Sevilla,” katanya.
Begitupun, Dortmund terpaksa menerima hakikat akan melayan kunjungan Sevilla tanpa Jadon Sancho dan berkemungkinan besar juga tanpa Raphael Guerreiro disebabkan masalah kecederaan dialami dua tonggak tersebut.
Sancho masih belum pulih daripada kecederaan otot selepas muncul wira meledak gol kemenangan Dortmund menewaskan Borussia Monchengladbach 1-0 pada aksi suku akhir Piala DFB Pokal minggu lalu.
Ketiadaan Sancho bermakna pemain sayap Belgium, Thorgan Hazard akan mengamnbil tanggungjawab melakukan hantaran-hantaran berbahaya ke dalam kawasan kotak penalti buat Haaland untuk merobek gawang Sevilla awal pagi esok.
Sebagai rekod, Haaland berjaya menjaringkan dua gol selain satu lagi jaringan diperoleh menerusi Mahmoud Dahoud sewaktu menewaskan Sevilla 3-2 pada aksi pertama bulan lalu. – AGENSI