JOHOR BAHRU – 13 individu yang leka berhibur sambil meneguk minuman beralkohol dicekup polis dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Dato Abdullah Tahir, di sini malam semalam.
Pemeriksaan yang dibuat pada pukul 8 malam itu mendapati premis hiburan yang sedang beroperasi itu tidak mempunyai lesen hiburan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, kesemua 13 individu yang ditahan itu berusia 26 hingga 46 tahun sedang leka berhibur.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiga wanita yang sedang berhibur adalah warganegara asing manakala 10 lelaki tempatan yang dipercayai pelanggan termasuk seorang penjaga premis.
“Semakan mendapati pusat hiburan tersebut tidak mempunyai lesen hiburan selain penjaga premis diambil tindakan dibawah Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Padzli berkata, semakan rekod jenayah semua yang diperiksa tidak memiliki rekod jenayah lampau.
Katanya, penjaga premis dan semua pelanggan warganegara telah dikeluarkan kompaun dibawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar syarat (PKPB).
“Tiga wanita warganegara asing itu pula diambil tindakan dibawah Seksyen 56(1)(1)Akta Imigresen dan Peraturan 16 PPDPPB 2021 dan semakan ketulenan passport akan dibuat di Jabatan Imigresen Malaysia.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi terus di talian Hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323,” ujarnya. – K! ONLINE