SELEPAS hampir dua bulan episod kecurangan oleh pelawak Shuk Sahar berlalu, lelaki itu mengakui apa yang terjadi telah mematangkan dirinya untuk menjadi seorang suami dan ayah yang lebih bertanggungjawab.
Meletakkan kesalahannya sendiri sebagai punca segala kecamuk sehingga memusnahkan karier, Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar, 35, tetap menadah tangan mensyukuri nikmat hidup kerana masih ada keluarga menyayangi dirinya.
Sebagai manusia Shuk berkata, susah untuk dirinya mahupun sesiapa sahaja untuk lari daripada melakukan kesalahan.
“Saya tahu tentang kelemahan diri sendiri. Saya tidak kata apa yang telah saya lakukan itu tidak salah. Sebab kalau tidak salah, perkara seperti ini tidak akan berlaku.
“Jadi sebab saya sedar kesalahan yang telah saya lakukan, maka saya terima kesalahan tersebut dan mencari jalan untuk pulihkan semula perkara yang sudah berlaku,” ujarnya.
Di mata masyarakat, kecurangan yang dilakukan oleh anak kelahiran Pulau Pinang itu ke atas isterinya, Rossalennah Natassiah Asshaferah ialah suatu perkara yang tidak wajar.
Isteri tak salah
Apatah lagi selepas ‘tertangkap’ dengan kesalahan serupa sebanyak dua kali dengan wanita sama sehingga isterinya sendiri mendedahkan perkara tersebut pada sekitar Januari lalu.
“Sebenarnya kesalahan pertama (curang) yang saya buat dahulu tidak dibuka oleh keluarga. Tetapi didedahkan oleh ‘seseorang’. Maksudnya pihak lain yang bertelagah, kemudian terpalit dengan saya. Saya terima perkara itu.
“Untuk kesalahan kali kedua, saya sebenarnya bersyukur sebab masih mempunyai keluarga dan akan mempertahankan isteri dan anak-anak,” katanya.
Menyorot kisah yang berlaku, ada juga pihak menyalahkan Rossalennah kerana secara terang-terangan membongkar aib suami dalam media sosial.
Rossalennah atau Sera berkongsi beberapa hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya dengan mendedahkan bahawa Shuk masih menjalinkan hubungan dengan wanita sama.
Umum sedia maklum, kisah rumah tangga menjadi dambaan netizen yang sentiasa dahagakan sensasi.
Bagaimanapun, Shuk sedikit pun tidak menyalahkan isteri atas apa yang berlaku.
“Memang ada netizen kata, kalau Sera tidak buka mulut, masyarakat tidak akan tahu dan saya tidak akan ditamatkan kontrak sebagai penyampai radio.
“Tetapi saya beranggapan dia (isteri) lakukan itu (memuat naik hantaran) bagi memperbetulkan keadaan. Saya tidak mahu salahkan mana-mana pihak dan ambil semuanya sebagai kesalahan saya sendiri,” kata Shuk.
Perancangan
Ibarat satu tamparan kencang yang hinggap di pipinya, Shuk sedar kesalahan yang dilakukan dan paling utama, dia masih mempunyai keluarga untuk dipertahankan.
Selepas hangat kisah kecurangannya, Shuk yang sebelum ini merupakan penyampai radio di stesen Hot FM telah digantung tugas serta-merta pada 25 Januari lalu sehinggalah kontraknya sebagai penyampai radio di stesen tersebut ditamatkan pada 18 Februari 2021.
Bagi Shuk, dia perlu reda dan menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka. Malah dia juga faham penamatan kontrak ialah jalan terbaik untuk stesen tersebut.
“Saya tidak berkecil hati selepas ditamatkan kontrak, cuma rasa sayang. Sebab sudah empat tahun saya bersama dengan Hot FM.
“Selama empat tahun, saya sudah selesa bekerja di situ mengendalikan segmen Geng Pagi Hot bersama Fizie dan Shuib.
“Selepas Shuib mengundur diri, kalau ikutkan team baharu nanti saya akan mengendalikan segmen Geng Pagi Hot bersama Fizie dan Mark Adam. Tapi nampaknya tidak ada rezeki di situ,” katanya.
Sejujurnya, selepas mengetahui statusnya sebagai penyampai radio telah ditamatkan, bohonglah jika Shuk tidak runsing memikirkan soal kewangan dan komitmen bulanan.
Ujar Shuk, penamatan kontrak sebagai penyampai radio sekali gus menghentikan aliran gaji bulanan ke dalam akaun banknya.
“Apabila berlaku perkara sebegini, apa yang boleh saya buat hanyalah teruskan hidup. Perkara yang sudah berlaku tidak boleh diubah lagi.
“Saya tidak ambil terlalu banyak masa untuk terduduk dan menyesali apa yang telah saya lakukan. Saya kena cepat bertindak, bergerak dan fikirkan sesuatu untuk tampung kehidupan saya dan keluarga,” ujarnya.
Perniagaan
Jelas bapa kepada dua orang cahaya mata perempuan itu, sejak digantung tugas lagi, dia telah merancang sesuatu untuk dijadikan sumber pendapatan.
Meneruskan kelangsungan hidup, Shuk kini menjalankan perniagaan berasaskan makanan dan minuman sebagai sumber pendapatan.
“Alhamdulillah, saya kini menjalankan perniagaan menjual kuetiau, yang diberi nama Keowteow Sup Papa Shuk di Denai Alam serta perniagaan minuman di Wangsa Maju.
“Sebelum ini saya langsung tak pernah terfikir untuk buat bisnes. Saya menyesal juga sebab kalau daripada dahulu saya ada perniagaan, sekurang-kurangnya sudah ada jaminan.
“Tetapi saya percaya setiap ketentuan yang Allah SWT dah rancang pasti ada sesuatu untuk saya,” tutupnya.