KOTA BELUD – Pengubahsuaian nombor pendaftaran dengan perkataan ‘SYA BUAYA’ serta ubahsuai ekzos antara kesalahan dilakukan pemilik motosikal dalam Ops Samseng Jalanan dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud semalam.
Sebanyak 13 motosikal ditahan sepanjang operasi berlangsung selama empat hari itu.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Mohd Zaidi Abdullah berkata, semua motosikal berkenaan disita atas kesalahan mengubahsuai ekzos selain beberapa kesalahan lain.
“Selain itu, terdapat juga motosikal yang dirampas berikutan dipercayai terbabit dalam kes dicuri pada tahun 2012.
“Dalam operasi ini, polis turut mengeluarkan sebanyak 23 saman trafik,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kota Belud dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, Mohd Zaidi berkata, pemilik yang mahu menuntut semula motosikal yang disita disyaratkan supaya memasang semula ekzos asal terlebih dahulu.
Menurut beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik yang mengubahsuai ekzos motosikal mereka sehingga mengeluarkan bunyi bising.
“Saya turut menggesa masyarakat setempat khususnya di Kota Belud agar terus memberi kerjasama dengan pihak polis bagi membendung gejala tidak sihat ini terutama golongan belia,” katanya. – K! ONLINE