fbpx

236 hektar tanah terbiar di Negeri Sembilan dibangunkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aminuddin menyampaikan bantuan input pertanian kepada 136 penerima pada Majlis Penyerahan Insentif Jaminan Bekalan Makanan Pasca Perintah Kawalan Pergerakan 1.0. - Foto oleh NOR SHAFAWATI YUP

PORT DICKSON – Sebanyak 236 hektar tanah terbiar di seluruh Negeri Sembilan telah dibangunkan oleh kerajaan negeri pada tahun lalu bagi memastikan jaminan pengeluaran produk pertanian dan asas tani mencukupi.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, insentif membangunkan tanah terbiar itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Sembilan dengan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi program tanah terbiar.

“Sebanyak 236 hektar tanah terbiar di seluruh Negeri Sembilan termasuk dusun yang tinggalkan lebih lima tahun telah diusahakan semula dengan pelbagai jenis tanaman seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Ini satu usaha yang baik bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dan mencapai hasrat menjadikan Negeri Sembilan sebagai pengeluar produk pertanian utama di Lembah Klang,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Penyerahan Insentif Jaminan Bekalan Makanan Pasca Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 di Tasik Villa International Resort di sini hari ini.

Menurut Aminuddin, sejumlah 236 hektar tanah terbiar yang diusahakan pada tahun lalu itu melebihi sasaran 200 hektar tanah yang telah ditetapkan kerajaan negeri.

“Malah, sehingga bulan Februari lalu, kita juga telah menerima lebih 200 permohonan daripada petani dan pengusaha terutama golongan muda yang mahu mengusahakan tanah terbiar tersebut.

“Alhamdulillah, kita lihat ramai anak-anak muda yang berminat menceburi bidang pertanian dan kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan RM1 juta bagi program siswazah tani dan petani muda,” katanya.

Jelas Aminuddin, sektor pertanian mampu membawa hasil pulangan yang baik dengan nilai jualan produk pertanian yang tinggi di pasaran.

Pada majlis tersebut, Aminuddin turut menyerahkan faedah serta bantuan input pertanian kepada 136 penerima yang terdiri daripada petani di Negeri Sembilan.

Bantuan input pertanian itu merangkumi baja dan peralatan benih dengan nilai keseluruhan RM500,000. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI