SEREMBAN – Bubble Bee Sdn. Bhd. (Bubble Bee) mengunjurkan rancangan pengembangan untuk membuka lebih daripada 100 cawangan baharu pada tahun ini.
Pengasasnya, Shahmira Muhamad atau lebih dikenali Shuib berkata, pembukaan lebih banyak rangkaian ini merupakan usaha syarikat untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah dan memberi peluang kepada lebih ramai usahawan menceburi bidang perniagaan berpotensi tersebut.
Menurut beliau, buat masa ini, Bubble Bee mempunyai tujuh cawangan sedia ada dan sasaran selepas ini meliputi beberapa negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
Jenama Bubble Bee mula diperkenalkan di pasaran sejak akhir tahun lalu.
“Melalui pembukaan lebih banyak cawangan pada masa depan, syarikat bakal menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat di negara ini yang mana kadar pengangguran juga semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pembukaan cawangan terbaharu Bubble Bee di Bandar Prima Senawang yang mana ia merupakan outlet pertama dibuka di luar Lembah Klang.
Menurut Shuib, produk minuman yang diperkenalkan syarikat kini semakin popular, antaranya ialah air boba berasaskan madu lebah sehingga membuatkan pelanggan sanggup beratur panjang untuk membelinya.