Oleh NIK SUKRY RAMLI
KUANTAN – Kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan rasmi kepada kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan peruntukan bagi mengatasi masalah hakisan pantai yang berlaku di kawasan pesisir pantai di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, permohonan itu dibuat selepas mendapati berlaku hakisan pantai yang serius di beberapa lokasi di Pahang.
“Permohonan sudah kita kemukakan dan kita tunggu kelulusan daripada kerajaan Persekutuan dan saya percaya perkara ini sedang diberi pertimbangan oleh mereka (kerajaan Persekutuan).
“Kelulusan itu mengambil masa kerana membabitkan kajian teliti dan agensi seperti Jabatan Pengairan Saliran (JPS) perlu melakukan tinjauan di lokasi dikenal pasti bagi memudahkan proses anggaran peruntukan diperlukan untuk kerja baik pulih kawasan berkenaan.
“Kajian awal sudah dilakukan sebelum ini tapi perlu kajian lebih teliti kerana ia membabitkan kawasan berisiko tinggi berlaku ancaman hakisan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Wang Ihsan Mangsa Banjir kepada kira-kira 1,000 ketua isi rumah (KIR) di Dewan Orang Ramai Kampung Ubai, dekat sini, hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd Rahim Muda; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif dan Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Nor Asmaliza Ku Lah.
Secara keseluruhan, kira-kira 19,000 KIR seluruh negeri ini layak menerima wang ihsan sumbangan kerajaan Pahang membabitkan peruntukan RM10 juta.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan keindahan berpuluh kawawasan pantai di beberapa negeri termasuk Pahang yang dahulunya menjadi tumpuan dan tarikan pelancong kini lenyap apabila dihakis sedikit demi sedikit sehingga ada pantai yang telah lenyap ‘ditelan’fenomena ini.
Di Pahang antara pantai yang telah lenyap ialah Pantai Kekunang di Tanjung Batu yang menyaksikan pemilik calet di kawasan yang dikenali dengan kekunang itu hanya tinggal geran selepas kawasan itu menjadi lautan dan calet di situ musnah.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap isu ini dan melakukan pelbagai usaha bagi memastikan keindahan pantai-pantai ini terus berkekalan. – K! ONLINE