KOTA BHARU – Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengacukan pisau sebelum merogol remaja perempuan berusia 14 tahun pada bulan lalu.
Tertuduh, yang berusia 49 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dengan meletakkan diri mangsa dalam ketakutan apabila mengacukan pisau kepadanya.
Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di sebuah rumah di daerah ini kira-kira pukul 7 malam pada 25 Februari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Fatin Shahirah Abu Hassan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan kes disebut semula pada 5 Mei depan. – K! ONLINE