BAGAN SERAI – Pas Perak membuat laporan polis terhadap sebuah portal, Harakatdaily HD kerana memuat naik hantaran fitnah kononnya parti itu meminta ahli Pas mendoakan agar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong dibebaskan daripada tuduhan merogol pembantu rumah.
Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, hantaran berkenaan adalah palsu, fitnah dan berniat jahat kononnya beliau mengeluarkan arahan sedemikian.
Menurutnya, hantaran berkenaan mungkin bertujuan untuk menjatuhkan imej beliau dan memberikan gambaran kepada umum bahawa Pas mahu membela perkara yang salah.
“Saya membuat laporan polis hari ini agar tindakan dapat diambil terhadap Harakatdaily yang membuat hantaran palsu, fitnah dan berniat jahat.
“Saya juga telah mengadakan perbincangan dengan peguam untuk melihat perkara ini untuk dibawa ke mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini hari ini.
Sementara itu, Pemuda Pas Perak turut menafikan hantaran dalam Harakatdaily itu yang mula dimuat naik di portal berkenaan sejak tengah hari semalam dan tular dalam media sosial.
Ketua Penerangan Pas negeri, Mohd. Hafez Sabri berkata, Pas Perak tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada ahli agar berbuat demikian.
“Pas Perak turut mengecam tindakan Harakatdaily yang cuba mengelirukan orang ramai dengan menggunakan identiti seakan-akan portal Harakahdaily.
“Portal berkenaan telah banyak mengeluarkan propaganda murahan serta kenyataan-kenyataan fitnah terhadap Pas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pendirian Pas Perak adalah jelas iaitu tidak mencampuri sebarang urusan mahkamah. – K! ONLINE