fbpx

Saya bukan pereka fesyen – Muhaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sembang Korporat

Selain memiliki Ikonik Eye Specialist Centre, Profesor Datuk Dr. Muhaya Mohamad sangat menggemari fesyen dan memiliki bakat besar dalam bidang tersebut.

Pelbagai idea dan kreativitinya telah diterjemahkan dalam dunia fesyen untuk menarik minat wanita cenderung ke arah pemakaian pakaian yang sopan dan sedia untuk bersolat (ready solat) serta eksklusif itu telah menjadikan beliau sebagai seorang model dan ikon bagi wanita.

Bermula dengan minatnya terhadap telekung yang cantik dan sentiasa sedekahkannya kepada jiran serta kenalan telah memberi idea kepada pakar motivasi ini menghasilkan koleksi sendiri telekung yang sempurna dan selesa, tidak panas, tidak melekat di tubuh dan tidak jarang.

“Rugi rasanya kerana kita pakai telekung lima kali sehari dan itu adalah pakaian utama yang digunakan ketika berjumpa dengan Allah,” katanya ketika ditemui di butik Muhayya Magical yang baru dibuka pada awal bulan Februari lalu di Kajang, Selangor.

Selain telekung, butik tersebut turut menawarkan tudung, khimar, shawl, jubah, seluar dan blaus dengan menampilkan koleksi yang mementingkan kualiti daripada penggunaan fabrik agar tampil sempurna, sopan dan eksklusif.
Lebih menarik setiap koleksi pakaiannya ada tertulis perkataan positif yang akan memberi ‘tenaga’ kepada si pemakai.

Kosmo!: Bagaimana minat terhadap fesyen boleh membawa Datuk menceburi bidang pakaian dan membuka butik Muhayya Magical?
Ia bermula dari peringkat sekolah, masa itu saya dalam tingkatan tiga atau empat apabila cikgu mengajar kami mengenai sedekah jariah dan kebetulan, saya ada kawan yang sangat miskin sehingga tiada telekung untuk dipakai ketika bersolat. Jadi saya membeli sepasang dan menghadiahkan kepada dia sebab saya fikir setiap kali dia bersolat, saya akan dapat pahala.

Kemudian saya juga suka memiliki telekung yang cantik dan teruskan minat untuk bersedekah. Bila berkunjung ke Indonesia, saya sangat suka beli te­lekung yang cantik di sana dan kemudian bersedekah.

Apabila tiba bulan puasa, saya juga akan membeli banyak telekung dan masukkannya ke dalam beg yang cantik dan sedekahkan kepada jiran serta kawan-kawan.

Saya rasa sangat rugi kerana telekung digunakan lima kali sehari dan jika kita beli barangan lain, ia akan membazir begitu sahaja.

Bermula di situ, saya fikir untuk membuat telekung sendiri dengan mengikut cita rasa sendiri sebab apabila kita membelinya di kedai, ia tidak selesa di bahagian muka, kainnya jarang atau melekat di badan dan nampak bentuk badan.

Jadi saya terfikir bagaimana nak hasilkan telekung yang cantik tapi selesa?
Kemudian pada satu hari selepas solat Zuhur saya terpandang satu gambar dan idea datang untuk membuat telekung.

Saya hubungi tukang jahit dan me­mintanya membuat telekung seperti yang digambarkan untuk dijadikan telekung contoh. Banyak kali juga ia diuji dan dipakai sehinggalah benar-benar selesa dan sempurna.

Berapa banyak koleksi te­lekung dan bagaimana cita rasa serta warna telekung ke­gemaran Datuk?
Dulu, saya suka memakai telekung jenama Siti Khadijah dan pada satu hari anak saya telah menghadiahkan telekung yang mahal berharga lebih RM300 dan saya berfikir, apa salahnya kita berbelanja lebih untuk berjumpa Allah dan kita pakainya lima kali sehari.

Kalau kita beli baju mewah dan cantik, ia mungkin hanya pakai sekali sekala.

Selain itu, saya juga suka membeli telekung daripada usahawan yang menjual dan mereka meminta saya membelinya, jadi saya akan beli banyak dan bersedekah. Saya tidak berkiraberbelanja lebih untuk membeli telekung.

Apa jenis telekung yang dijual di Butik Muhayya Magical?
Kami perkenalkan telekung menggunakan kain kapas dan lycra. Selain itu, saya juga suka kepada telekung berwarna lembut dan diperbuat daripada fabrik lembut.

Di situ timbul idea untuk menghasilkan telekung daripada fabrik silk satin tetapi ia menggunakan dua lapis kain.

Pelanggan sangat menggemari telekung tersebut dan menganggap ia satu produk yang terlalu sempurna. Saya meng­ucap syukur kerana te­lekung yang dijual memenuhi konsep untuk pakaian berjumpa Allah. Ia perlulah te­lekung yang mahal, selesa dan sempurna.

Tetapi bila menyentuh tentang telekung mahal, ada kumpulan masyarakat yang tidak mampu untuk berbelanja lebih untuk mendapatkannya?
Jika kita berniat untuk mendapatkan pakaian (telekung) ketika berjumpaNya dan berniat untuk berbelanja kerana Allah, Insya Allah akan diberikan rezeki.

Sebenarnya jika kita berniat berbelanja kerana Allah, Dia tidak akan persoalkannya. Kita juga akan memakainya di rumah tanpa menunjuk kepada orang tanpa timbul rasa riyak dan takabur. Fokus kita adalah untuk berbelanja ke jalan Allah dan Dia tidak akan persoalkannya di akhirat nanti.

Apakah koleksi pakaian lain yang ditawarkan di butik Muhayya Magical?
Sebanyak 70 peratus koleksi di sini adalah telekung dan bakinya ialah blaus, tudung, khimar, shawl, dan seluar.

Saya suka pada pakai­an sopan dan juga terdapat kata-kata positif di setiap baju yang dijual. Contohnya ayat-ayat se­perti menghargai diri, diri disa­yangi dan memaafkan orang lain.

Baju yang dijual juga bersaiz labuh hingga ke lutut dan ia berkonsepkan patuh syariah serta ready solat (sedia solat). Baju yang dibuat juga dibuat dengan dua lapisan fabrik iaitu di dalamnya terdiri daripada kain kapas dan di luar­nya adalah chiffon. Oleh itu, ia akan membuatkan si pemakai nampak anggun dan eksklusif.

Banyak lagi koleksi baharu akan dilancarkan secara berperingkat-peringkat akan datang terutamanya menjelang bulan puasa dan hari raya termasuk koleksi jubah.

Bagaimana Datuk mendapat idea untuk menghasilkan sesuatu rekaan fesyen?
Saya bukan pereka fesyen tetapi saya menganggap diri saya sebagai trendsetter. Saya tidak suka mengikut perubahan fesyen terkini, tetapi saya suka kepada fesyen evergreen dan yang pen­ting, koleksi yang dihasilkan akan memberi manfaat kepada orang yang memakainya.

Saya juga mahu menunjukkan contoh yang baik kepada orang bukan beragama Islam. Kita ada butik dan jual pa­kaian yang Allah suka dan kita akan dapat kebaikan daripadanya.

Sebelum ini, Datuk ada membuka sebuah butik, Mo­dest Culture, apakah perbezaan antara dua butik ini?
Butik Muhayya Magical baru sahaja dibuka pada bulan Februari dan jenama Modest Culture masih ada lagi tetapi lebih fokus kepada tempahan dan mengikuti kehendak, cita rasa, idea dan kreativiti pelanggan.

Koleksi Modest Culture memiliki segmen pasaran dan pelanggannya yang tersendiri dan terdiri daripada koleksi premium serta sangat eksklusif hanya pada sekumpulan pelanggan.

Tetapi dua jenama ini bergerak seiring dan saling menyokong antara satu sama lain. Muhayya Magical menawarkan koleksinya secara umum kepada semua pelanggan.

Harapan Datuk terhadap butik Muhayya Magical?
Saya suka tengok wanita yang berpakaian kemas, sopan dan bijak dalam suai padan antara pakaian dengan tudung.

Saya tidak suka melihat wanita yang selekeh dan memakai pakaian ‘asal boleh’. Kita perlu menghargai kecantikan diri kita sendiri. Kecantikan itu tidak perlu ditunjukkan kepada semua orang tetapi kita perlu jaga kecantikan yang Allah anugerahkan kepada kita. Tetapi kita tidak menjaga dengan sebaiknya.

Wanita perlu menjaga empat perkara ini iaitu mata, telinga, hidung dan hati. Selain itu, saya juga selalu tekankan tentang penting­nya wanita nampak cantik di rumah dan di hadapan suami.

Kasihanilah pada suami kita. Ini selalu berlaku kepada wanita yang sudah berkahwin dan lupa pada kecantikan di mata suami.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI