JAKARTA – Imej luar biasa ketika kilat menyambar berhampiran Gunung Sinabung di Kabupaten Karo, Sumatera Utara berjaya dirakam baru-baru ini, lapor akhbar The Sun, semalam.
Pemandangan itu dirakam sewaktu gunung berapi itu sedang mengeluarkan abu setinggi 4,998 meter (m) ke udara.
Pancaran kilat di puncak gunung menyebabkan langit malam Sumatera Utara berubah warna menjadi ungu buat seketika.
Imej tersebut muncul beberapa hari selepas Gunung Sinabung meletus pada Selasa lalu iaitu letusan besar kali pertama dicatatkan sejak Ogos tahun lalu.
Menurut agensi geologi tempatan, ia mula memuntahkan abu sebanyak 13 kali sejak awal pagi.
Penduduk juga diminta untuk mengelak daripada berada dalam lingkungan lima kilometer radius dari gunung berapi tersebut.
Bagaimanapun, ramai yang berasa terpegun dengan abu yang dikeluarkan Gunung Sinabung kerana kepulan debu tebalnya kelihatan seperti lukisan seni di kaki langit.
Gunung Sinabung yang berketinggian 2,459m kembali aktif pada tahun 2010 setelah ‘senyap’ selama beberapa abad. – Agensi