PENYANYI bertubuh genit Sandara Park sebelum ini meresahkan peminat apabila kemunculannya dalam program Video Star mencuri perhatian.
Semuanya gara-gara bahagian leher dan wajah Sandara kelihatan membengkak ketika itu.
Bagaimanapun, dia yang muncul dalam episod terbaharu program berkenaan baru-baru ini menjelaskan bahawa tahap kesihatannya dalam keadaan yang sangat baik.
Sandara atau mesra disapa Dara juga sudah melakukan pemeriksaan di hospital dan doktor mengesahkan dia tidak mengalami sebarang penyakit atau kecederaan.
“Saya sangat sihat. Mungkin nampak bengkak sebab otot pada bahagian leher agak besar berbanding orang luar. Jadi kepada keluarga dan rakan-rakan, boleh berhenti hantar mesej kepada saya,” selorohnya.
Bagi membuktikan dirinya tidak ditimpa sebarang penyakit, Dara turut menunjukkan surat keputusan pemeriksaan kesihatan yang dijalaninya baru-baru ini.
“Tiada sebarang keadaan luar biasa atau keradangan ditemui pada pesakit. Kami mengesahkan pesakit dalam keadaan sihat,” tulis surat berkenaan.