fbpx

Kerja baik pulih kabel Jambatan Pulau Pinang siap seminggu awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kabel elektrik di bawah Jambatan Pulau Pinang dekat Perai yang terbakar baru-baru ini. Foto IHSAN BOMBA

PETALING JAYA – Kerja-kerja baik pulih kabel elektrik yang terbakar di bawah Jambatan Pulau Pinang berjaya disiapkan seminggu lebih awal berbanding jadual asal 118 hari.

Ketua Pegawai Grid Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Husaini Husin berkata, kejayaan tersebut berikutan kerja menanggalkan struktur sokongan kabel dan kabel yang rosak dapat disiapkan dalam tempoh empat hari yang berakhir hari ini.

“Kita telah memulakan kerja-kerja baik pulih tersebut pada 4 Mac yang lalu dan berjaya memendekkan tempoh penanggalan struktur sokongan kabel termasuk kabel yang telah rosak. Ia sekaligus menjadikan tempoh kerja pembaikan oleh pihak TNB dan PLUS adalah 112 hari sahaja.

“Kejayaan tersebut membolehkan pihak PLUS menyegerakan siasatan terhadap keadaan struktur dan kerja-kerja baik pulih jambatan yang dijangkakan mengambil masa dua bulan bermula esok,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kerja-kerja baik pulih kabel 132kV yang terbakar di kilometer 3.2, Jambatan Pulau Pinang merangkumi penggantian tiga litar kabel yang musnah terbakar dengan kabel baru sepanjang kira-kira 100 meter.

“TNB juga akan membuat kerja-kerja merentang kabel, penyambungan kabel dan penggantian struktur sesalur kabel yang musnah terbakar.

“Pelaksanaan kerja tersebut tidak akan mengganggu aliran trafik Jambatan Pulau Pinang dan akses kerja adalah melalui laut menggunakan tongkang dari mula hingga akhir pada 23 Jun 2021,” jelasnya.

Mengulas mengenai punca kebakaran kabel yang berlaku pada 22 Februari lalu, laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang menyatakan bahawa berlaku arka elektrik pada kabel di kilometer 3.2 dan terkena kayu pelantar sebelum berlaku kebakaran.

“Berdasarkan maklumat pihak JBPM, kejadian kebakaran bukanlah secara semula jadi atau khianat. Siasatan masih dilakukan bagi mencari punca yang menyebabkan pancaran arka tersebut.

“Pihak yang terlibat juga sedang menjalankan siasatan secara berasingan bagi mengenal pasti penyebab pancaran arka itu,” ujarnya. – K!ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI