SEPANG – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun akan memberi sumbangan ehsan kepada penduduk terjejas di Zon Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) dan Zon Salak selepas rumah mereka dilanda ribut akibat hujan yang berlaku petang semalam.
Rina berkata, beliau dimaklumkan sebanyak 80 buah rumah terjejas teruk selain beberapa sekolah di zon ini.
“Jadi melihat kepada keadaan itu, saya tampil membantu dan diharap sumbangan ehsan daripada saya ini dapat sedikit sebanyak membantu serta meringankan beban kepada penduduk yang terjejas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Rina yang juga Ketua Srikandi Bersatu meluangkan masa meninjau keadaan beberapa buah rumah mangsa terjejas selain gelanggang futsal di Taman Seroja.
Selain itu, katanya, bagi kerosakan-kerosakan lain melibatkan kemudahan seperti gelanggang futsal dan sekolah, beliau akan bangkitkan kepada kementerian berkaitan.
“Saya akan cuba membantu membuat tindakan susulan bagi mempercepatkan proses,” katanya.
Kosmo! terdahulu melaporkan lebih 100 rumah melibatkan Zon BBST Utara dan Zon Salak terjejas selepas dilanda ribut akibat hujan lebat yang berlaku pada pukul 4.30 petang semalam.