fbpx

Bot nelayan asing kantoi menyamar bot tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bot nelayan asing yang menyamar bot tempatan diperairan negara dekat Kuala Rompin, Pahang semalam.

Oleh KHAIRULMIZAN YAHYA

KUANTAN – Tindakan licik sebuah bot nelayan asing cuba menyamar sebagai bot tempatan dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu gagal mengaburi pihak berkuasa apabila mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) awal pagi semalam.

Pengarah APMM Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, bot dari Vietnam itu ditahan kira-kira 40 batu nautika di timur laut Kuala Rompin ketika rondaan Ops Kuda Laut dilakukan kira-kira pukul 6 pagi semalam.

“Dalam kejadian itu KM Satria mengesan dua buah bot yang mencurigakan sedang menjalankan aktiviti penangkapan ikan dan ketika dihampiri mereka bertindak memadamkan lampu sebelum cuba melarikan diri.

“Namun tindakan pantas KM Satria berjaya memintas sebuah bot yang menggunakan nombor pendaftaran bot tempatan dan ketika pemeriksaan dilakukan, tekong memberikan dokumen lesen yang meragukan kerana nombor siri enjin berbeza dengan yang tercatat dalam lesen,” katanya di sini hari ini.

Menurut Amran, pemeriksaan lanjut terhadap 25 kru bot berkenaan juga mendapati mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai warganegara Vietnam.

Sehubungan itu katanya, pihak APMM merampas semua peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan mereka yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta manakala kru termasuk tekong dihantar ke Zon Maritim Kemaman untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang membawa hukuman denda sehingga RM6 juta bagi tekong dan RM600,000 bagi setiap kru kerana tidak memiliki sebarang permit untuk beroperasi di perairan di negara.

“Kes juga akan disabitkan dengan Akta Imigresen 1959/1963 Seksyen 6(1)(c) yang membawa denda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan sebatan tidak lebih enam sebatan kerana tidak mempunyai pengenalan diri yang sah.

“Menggunakan nombor pendaftaran palsu atau bot klon menjadi modus operandi nelayan Vietnam untuk mengaburi pihak berkuasa namun sifat dan struktur fizikal bot yang berbeza membolehkan penguatkuasa mengesan taktik mereka,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI