PARIT BUNTAR – Mayat hampir reput ditemui pasukan mencari dan menyelamat ketika sedang mencari seorang nelayan yang dilaporkan terjatuh dari bot di perairan Kuala Gula di sini hari ini.
Ketua Pangkalan Cawangan Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Kuala Kurau, Nazri Mohd. Noh berkata, mayat tanpa sebarang pakaian dan identiti itu ditemui terapung oleh sekumpulan nelayan tempatan kira-kira pada pukul 6 petang sebelum memaklumkan penemuan itu kepada pihaknya.
Menurutnya, khidmat pasukan bomba digunakan bagi membantu menaikkan mayat berkenaan.
“Terdahulu mayat tersebut ditemui sekumpulan nelayan yang turut sama mencari lelaki berusia 62 tahun yang dilaporkan terjatuh dari botnya pagi tadi.
“Mayat yang hampir reput itu ditemui pada kedudukan 4 batu nautika dari Pantai Ban Pecah dan berdasarkan keadaannya kami yakin ianya bukanlah lelaki yang dilaporkan hilang pagi tadi,” katanya ditemui pemberita di Jeti Pengkalan Polis Marin, Kuala Kurau di sini hari ini.
Menurutnya lagi, mayat tersebut diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, pencarian lelaki yang hilang itu masih diteruskan dan radius pencarian diperluaskan ke 10 batu nautika meliputi sempadan perairan Kuala Gula ke Pulau Pinang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat tersebut dan mengesahkan mayat tanpa sebarang identiti itu bukanlah nelayan yang dilaporkan hilang hari ini.
Seorang nelayan yang merupakan awak-awak bot ikan dilaporkan terjatuh dari bot yang dinaiki mangsa bersama dua lagi rakan termasuk tekong.
Difahamkan mangsa, Ng Choon Lee, 62, yang berasal dari Tanjung Piandang itu dilaporkan dalam perjalanan pulang dan terjatuh dari botnya sekitar pukul 11.00 pagi di Perairan Kuala Gula akibat cuaca buruk.
Berikutan itu satu laporan polis telah dibuat keluarga mangsa di Balai Polis Tanjung Piandang tengah hari tadi.